Sekolah & Kupon Wajib
Soalan Pertama
Apakah hukum sekolah yang mewajbkan guru dan pelajar membeli kupon untuk diguna di hari pasaria dan hari usahawan.
Soalan Kedua
Saya
seorang guru di sebuah sekolah menengah, saya ingin bertanya ustaz
tentang jualan kupon untuk hari pasaria. Saya dan murid sekolah di
‘paksa ‘ untuk menjual kupon yang dibuat untuk jualan gerai pada hari
tersebut. Setiap guru diwajibkan menjual kupon sebanyak RM 100 dan
setiap murid sekolah pula diwajibkan menjual RM 50. Kemudian, jika kami
gagal menjual , kami dimestikan untuk membeli kupon tersebut sebagai
sumbangan kepada sekolah. Apakah hukumnya?
(Soalan melalui email)
Jawapan UZAR
Ramai juga guru-guru yang bertanyakan hal ini kepada saya, dalam Islam jual beli tidak dibenarkan dibuat atas dasar paksaan.
Allah SWT menyebut :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ
بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu" ( An-Nisa : 29)
Dalam
hal yang ditanyakan, walaupun pihak sekolah bertujuan untuk mendapatkan
pendapatan tambahan bagi pihak sekolah, mereka tidak wajar untuk
mewajibkan para guru dan murid untuk menghabiskan kupon yang
diamanahkan.
Sekadar
mewajibkan guru dan murid berusaha untuk menjualnya sebaik mungkin
mengikut kemampuan adalah dibenarkan menurut Shariah.
Bagaimanapun,
meletakkan syarat bahawa jika gagal menjual, si guru dan murid WAJIB
membelinya, ia adalah salah satu bentuk pemaksaan yang termasuk dalam
kategori makan harta orang lain dengan cara tidak benar yang ditegaskan
oleh Allah SWT :
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (Al-Baqarah : 188)
Paksaan
dalam belian menurut ulama Fiqh boleh dibahagikan kepada dua jenis 1)
Al-Ikrah AL-Muljik ( Iaitu jenis paksaan yang boleh mengancam nyawa,
keluarga, anggota tubuh dicacatkan dan lain-lain yang sepertinya) 2)
Ikrah Ghaira Muljik ( Jenis paksaan yang kurang seidkit mudaratnya dari
yang jenis pertama).
Paksaan
jenis pertama sudah tentu menghilangkan redha dan menyebabkan jualan
tidak sah secara pasti. Manakala paksaan jenis kedua juga tidak
terkecuali menggugat kesahihan jual beli.
Imam Az-Zaila'ie menyatakan :-
Seseungguhnya
paksaan secara muljik dan tidak muljik itu menyebabkan hilangnya redha
dan redha adalah salah satu syarat sahnya aqad jual beli" ( Tabyin
al-Haqaiq, 5/182 )
Dalam
konteks sekolah tadi, boleh juga dilihat paksaan itu secara keras
kerana mungkin sebahagian guru memahaminya secara tidak langsung bahawa
pihak pentadbir sekolah mungkin boleh bertindak ke atas guru yang
ingkar, seperti lambat naik pangkat dan sebagainya. Ini boleh
menyebabkan mudarat kepada guru dan keluarganya. Keadaan ini menyebabkan
si guru terpaksa juga membeli dan berusaha untuk gerainya, walaupun
tiada sebarang ancaman lisan mahupun bertulis daripada pihak sekolah.
Modal Gerai Sendiri Cari?
Selain
itu, saya juga difahamkan oleh beberapa orang guru dan bekas guru,
modal jualan gerai yang dibuka pula adalah mesti diusahakan sendiri oleh
setiap kelas. Ada yang menggunakan duit kelas, ada yang mendapat
bantuan ibu bapa, dan tidak kurang juga yang terpaksa mengumpul wang
tambahan daripada setiap ahli di dalam kelas bagi tujuan berkenaan.
Perlu diingat bahawa banyak juga kelas yang tidak mempunyai sebarang
budjet untuk dijadikanmodal, keadaan ini menyebabkan pihak guru terpaksa
mengeluarkan modal sendiri sekali lagi demi menjayakan gerai kelasnya.
Sudahlah tadi dipaksa menjual sehingga habis, kali ni terpaksa pula
memperuntukan lagi budjet untuk tujuan gerai ini.
Ini
satu lagi bentuk ‘paksaan' pengeluaran duit secara kurang sihat menurut
pandangan Shariah, walalupun ia mungkin tidak sampai ke tahap haram,
tetapi ia kerap menyukarkan para guru yang rata-rata tidaklah
berpendapatan besar.
Benar,
jika wang kelas mencukupi ia akan menggunakan wang kelas, sememangnya
ia bertujuan memupuk nilai kerjasama dan berkorban untuk sekolah, tetapi
apa jua korban yang dibuat atas nama kebaikan memerlukan keredhaan
pihak yang memberi, tiada sebarang tekanan dan desakan kurang wajar
patut dilakukan daripada pihak yang memerlukan bantuan. Samada orang
faqir mahupun pihak sekolah.
Displin Minta Bantuan
Ia
adalah satu displin dari al-Quran yang melarang si peminta sedeqah
menekan agar diberikan sedeqah , firman Allah SWT ketika menjelaskan
sifat orang miskin yang memerlukan bantuan tetapi berusaha dan tidak
meminta-minta dengan desakan keras:-
لِلْفُقَرَاء
الَّذِينَ أُحصِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي
الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاء مِنَ التَّعَفُّفِ
تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا
تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Ertinya : "(Berinfaklah)
kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah;
mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu
menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta.
Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta
kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang
baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui ( Al-Baqarah : 273 )
Jelas
dari ayat di atas menunjukkan bahawa pihak sekolah yang ‘faqir' dan
‘miskin' tetap perlu menjaga adab untuk meminta bantuan dari murid dan
guru sekolah mereka. Tidak boleh meminta-meminta secara MENDESAK, maka
kaedah mesti jual kupon dan jika tidak maka anda wajib membeli adalah
tidak menurut displin Shariah dalam hal ehwal sumbangan.
UNTUNG
Setelah
jual kupon di wajib ke atas guru & pelajar, gerai juga hasil dari
usaha si guru kelas dan murid, maka saya diberitahu bahawa kebanyakan
sekolah juga mensyaratkan semua hasil keuntungan gerai MESTI DIBERIKAN
kepada sekolah.
Sekali
lagi, kelihatan pihak sekolah menekan anak murid dan guru dengan kurang
wajar. Apatah lagi jika keuntungan yang diberikan kepada sekolah
digunakan untuk membeli alat-alatan atau membina prasarana yang kurang
berfaedah untuk semua pelajar.
Kesimpulannya
saya melihat dalam memupuk soal korban dan usaha kasih guru dan pelajar
kepada pihak sekolah, cara yang dilakukan mestilah lebih bersifat
‘friendly'.
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
5 Jun 2007
No comments:
Post a Comment