Pages

PRODUK HALAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Saturday, June 30, 2012

Hukum Akaun Pelaburan Emas Di Bank Malaysia


Hukum Akaun Pelaburan Emas
di Bank Malaysia
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Soalan 1
Assalamualaikum UZAR, Saya nak kepastian dari UZAR mengenai masalah berikut:
Bagaimana pula pelaburan emas Kijang emas yang telah diperkenalkan oleh Maybank? Bagaimana cara selamat mengikut undang-undang Syariah untuk membeli dan melabur gold tersebut? Sila masuk ke maybank2u.com Terima kasih.
Akaun Pelaburan Emas di Maybank atau Public Bank - Pelaburan di Maybank jika mahu boleh dapatkan emasnya tapi di Public Bank tak pasti emasnya boleh dikeluarkan (Tiada yang sumber memastikan yang emas di PB boleh dikeluarkan). Jika mereka dagangkan hanya berdasarkan harga sahaja adakah ianya SAH disegi Islam?
Soalan 2
Saya telah membuat panggilan telefon (Public Bank customer service 1800883323) untuk mengetahui cara-cara urusniaga pelaburan akuan emas ini.

Dari maklumbalas yang diberikan ialah:

Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.

Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.

Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.

Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.

Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.
JAWAPAN
Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini, membeli emas dengan tujuan pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat. Ini mungkin disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas ( paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas yang sentiasa ada.
Bagi mengulas isu yang ditanyakan, setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari web bank yang terbabit, saya berpendapat seperti berikut :-
Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.
Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-
• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasiah.
Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.
 Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf' (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).
HALAL DAN SAH :
Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-
a.    Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.
b.    Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil ha milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdhu Al-Ma'nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191) 
emas oh emas
 
DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?
Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :
1-      JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.
Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.
2-      JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.
Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.
Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3-      CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.
Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.
Mengapa 3 hari?  ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal' tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
4-   PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini. 
Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.
Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN
Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan.
Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
22 Oktober 2008
23 Syawal 1429 H
Wales, UK

Adakah Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary Kaya Melalui Cepat Kaya ?


TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY : ADAKAH CEPAT KAYA ?


  • Umur - 53 tahun
  • Pendidikan - SPM
  • Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
  • Kekayaan -RM1,425 juta
  • Ke 7 terkaya di Malaysia
  • Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary

TAN Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal.

Latar belakang kehidupan

Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.
Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.

Pendidikan

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal's.

Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Membantu keluarga

Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama.

Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Mula berniaga

Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.

Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.

Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Menubuhkan syarikat

Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar.

Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Perniagaan terus berkembang

Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.

Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.

Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.

Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Strategi tersendiri

Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Perniagaan pakaian

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.

Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan perkapalan

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta - USD600,000).

Pada masa yang sama, beliau mula mem*sensored*tkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Penglibatan dalam projek penswastaan

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Kepentingan

Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.

Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.
Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary

Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.
Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary

Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.
Sumbangan dalam bidang pendidikan

Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.clap
KOMEN RINGKAS SAYA
1) Jelas dari info yang dinyatakan di atas. Keuntungan yang dihasilkan benar-benar atas kerja dan usaha yang tidak mudah serta memakan masa. Ia tidak bersifat cepat kaya.
2) Jelas juga kelihatan tender dan projek kerajaan adalah antara pendorong dan pembantu utama usahwan bumiputra seperti beliau untuk mencapai kedudukan sekarang. Saya pernah bertugas sebagai Shariah Consultant di sebuah syarikat Bumiputra dalam industri pembuatan, iaitu Ingress Corporation Berhad.
Syarikat ini adalah sebuah syarikat bumiputra contoh yang cukup dinamik dan energetic kerana tidak begitu banyak bergantung kepada tender kerajaan sahaja, tetapi meluaskan empayar ke Thailand, Indonesia dan lain-lain melalui kualiti tanpa 'bodek' politik mahupun rasuah. Benar, peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk usahawan Bumiputra jangan diabaikan selagi ia halal.  
3) Saya tidak nafikan, realiti di zaman ini memang sukar untuk berjaya di dalam bisnes yang besar-besar khasnya kecuali terdapat unsur-unsur tidak sihat seperti rasuah, tender tertutup, kabel orang dalam, kabel politik dan lain-lain.
Bagi mereka yang rasa diri terjebak atau ragu-ragu, salah satu tindakan terbaik adalah memperbanyakkan derma, sedeqah dan bantuan kepada masyarakat awam sebagaimana yang ditunjukkan model Yayasan Al-Bukhary. Sudah tentu saya tidak mengatakan beliau terlibat dengan apa-apa yang tidak sihat, cuma yang ingin saya tegaskan adalah perlunya usahawan Islam yang berjaya melakukan usaha seperti Yayasan kebajikan begini kerana ia memang menjadi pembersih kepada harta-harta syubhat dan haram serta mampu menaikkan keberkatan dalam pendapatan harta.
4) Dari kisah di atas juga kelihatan, sijil universiti bukan satu-satunya masa depan buat para pelajar. Hanya sekadar SPM (tapi SPM di zaman Tan Sri sebenarnya sememangnya sudah sangat hebat) seseorang masih boleh maju kehadapan.
5) Semua harta ini bukanlah menjadi milik kita selamanya, nikmatnya akan terhenti sejurus kematian menjelma kecuali bagi sesiapa yang bijak menggunakannya untuk alam akhirat.
6) Jadikan kisah di atas sebagai panduan dan motivasi diri untuk memberi manfaat kepada umat Islam yang lain.
Hari ini, saya meneliti permohonan pembiayaan Islam oleh sebuah syarikat milik bukan Islam. Syarikat ini menyediakan tin, dan bahan makanan dalam tin, susu dan lain-lain. Ia disahkan sebagai produk halal dan telah mendapat tempahan dari seluruh dunia terutamannya negera-negara umat Islam seperti UAE, Syria, Yemen, Qatar, Saudi, Iran, Sudan dan lain-lain. Betapa bersungguhnya mereka dalam kerjaya dan memohon pembiayaan Islam pula.
Tidak dinafikan, terdetik hasrat untuk melakukan yang sama demi membantu umat Islam dan masyarakat Islam disamping memperbanyakkan peluang pekerjaan buat umat Islam. Mari bersama saya menubuhkan sebuah Pasaraya Besar Islam yang halal, anda minat menjadi rakan kongsi dan melabur? :) Ia adalah satu peringatan ini buat diri saya sebenarnya.  
Sekian, sekadar ulasan ringan di waktu kesibukan yang amat kini.
Zaharuddin Abd Rahman
9 Julai 2007
http://www.zaharuddin.net/

Sekolah & Pendapatan Haram Kupon ?


Sekolah & Kupon Wajib
Soalan Pertama
Apakah  hukum sekolah  yang mewajbkan guru dan pelajar membeli kupon untuk diguna di hari pasaria dan hari usahawan.
Soalan Kedua
Saya seorang guru di sebuah sekolah menengah, saya ingin bertanya ustaz tentang jualan kupon untuk hari pasaria. Saya dan murid sekolah di ‘paksa ‘  untuk menjual kupon yang dibuat untuk jualan gerai pada hari tersebut. Setiap guru diwajibkan menjual kupon sebanyak RM 100 dan setiap murid sekolah pula diwajibkan menjual RM 50.  Kemudian, jika kami gagal menjual , kami dimestikan untuk membeli kupon tersebut sebagai sumbangan kepada sekolah. Apakah hukumnya?
(Soalan melalui email)
Sekolah Malaysia Tak Cukup BUdjet ?
Jawapan UZAR
Ramai juga guru-guru yang bertanyakan hal ini kepada saya,  dalam Islam jual beli tidak dibenarkan dibuat atas dasar paksaan.
Allah SWT menyebut :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu" ( An-Nisa : 29)
Dalam hal yang ditanyakan, walaupun pihak sekolah bertujuan untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi pihak sekolah, mereka tidak wajar untuk mewajibkan para guru dan murid untuk menghabiskan kupon yang diamanahkan.
Sekadar mewajibkan guru dan murid berusaha untuk menjualnya sebaik mungkin mengikut kemampuan adalah dibenarkan menurut Shariah.
Bagaimanapun, meletakkan syarat bahawa jika gagal menjual, si guru dan murid WAJIB membelinya, ia adalah salah satu bentuk pemaksaan yang termasuk dalam kategori makan harta orang lain dengan cara tidak  benar yang ditegaskan oleh Allah SWT :
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (Al-Baqarah : 188)
Paksaan dalam belian menurut ulama Fiqh boleh dibahagikan kepada dua jenis 1) Al-Ikrah AL-Muljik ( Iaitu jenis paksaan yang boleh mengancam nyawa, keluarga, anggota tubuh dicacatkan dan lain-lain yang sepertinya)  2) Ikrah Ghaira Muljik ( Jenis paksaan yang kurang seidkit mudaratnya dari yang jenis pertama).
Paksaan jenis pertama sudah tentu menghilangkan redha dan menyebabkan jualan tidak sah secara pasti. Manakala paksaan jenis kedua juga tidak terkecuali menggugat kesahihan jual beli.
Imam Az-Zaila'ie menyatakan :-
لِأَنَّ الْإِكْرَاهَ الْمُلْجِئَ وَغَيْرَ الْمُلْجِئِ يُعْدِمَانِ الرِّضَا وَالرِّضَا شَرْطٌ لِصِحَّةِ هذه الْعُقُودِ
Seseungguhnya paksaan secara muljik dan tidak muljik itu menyebabkan hilangnya redha dan redha adalah salah satu syarat sahnya aqad jual beli" ( Tabyin al-Haqaiq, 5/182 )
Dalam konteks sekolah tadi, boleh juga dilihat paksaan itu secara keras kerana mungkin sebahagian guru memahaminya secara tidak langsung bahawa pihak pentadbir sekolah mungkin boleh bertindak ke atas guru yang ingkar, seperti lambat naik pangkat dan sebagainya. Ini boleh menyebabkan mudarat kepada guru dan keluarganya. Keadaan ini menyebabkan si guru terpaksa juga membeli dan berusaha untuk gerainya, walaupun tiada sebarang ancaman lisan mahupun bertulis daripada pihak sekolah.
Modal Gerai Sendiri Cari?
Selain itu, saya juga difahamkan oleh beberapa orang guru dan bekas guru, modal jualan gerai yang dibuka pula adalah mesti diusahakan sendiri oleh setiap kelas. Ada yang menggunakan duit kelas, ada yang mendapat bantuan ibu bapa, dan tidak kurang juga yang terpaksa mengumpul wang tambahan daripada setiap ahli di dalam kelas bagi tujuan berkenaan. Perlu diingat bahawa banyak juga kelas yang tidak mempunyai sebarang budjet untuk dijadikanmodal, keadaan ini menyebabkan pihak guru terpaksa mengeluarkan modal sendiri sekali lagi demi menjayakan gerai kelasnya. Sudahlah tadi dipaksa menjual sehingga habis, kali ni terpaksa pula memperuntukan lagi budjet untuk tujuan gerai ini.
Ini satu lagi bentuk ‘paksaan' pengeluaran duit secara kurang sihat menurut pandangan Shariah, walalupun ia mungkin tidak sampai ke tahap haram, tetapi ia kerap menyukarkan para guru yang rata-rata tidaklah berpendapatan besar.
Benar, jika wang kelas mencukupi ia akan menggunakan wang kelas, sememangnya ia bertujuan memupuk nilai kerjasama dan berkorban untuk sekolah, tetapi apa jua korban yang dibuat atas nama kebaikan memerlukan keredhaan pihak yang memberi, tiada sebarang tekanan dan desakan kurang wajar patut dilakukan daripada pihak yang memerlukan bantuan. Samada orang faqir mahupun pihak sekolah.
Displin Minta Bantuan
Ia adalah satu displin dari al-Quran yang melarang si peminta sedeqah menekan agar diberikan sedeqah , firman Allah SWT  ketika menjelaskan sifat orang miskin yang memerlukan bantuan tetapi berusaha dan tidak meminta-minta dengan desakan keras:-
لِلْفُقَرَاء الَّذِينَ أُحصِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاء مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Ertinya : "(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui ( Al-Baqarah : 273 )
Jelas dari ayat di atas menunjukkan bahawa pihak sekolah yang ‘faqir' dan ‘miskin'  tetap perlu menjaga adab untuk meminta bantuan dari murid dan guru sekolah mereka. Tidak boleh meminta-meminta secara MENDESAK, maka kaedah mesti jual kupon dan jika tidak maka anda wajib membeli adalah tidak menurut displin Shariah dalam hal ehwal sumbangan.
UNTUNG
Setelah jual kupon di wajib ke atas guru & pelajar, gerai juga hasil dari usaha si guru kelas dan murid, maka saya diberitahu bahawa kebanyakan sekolah juga mensyaratkan semua hasil keuntungan gerai MESTI DIBERIKAN kepada sekolah.  
Sekali lagi, kelihatan pihak sekolah menekan anak murid dan guru dengan kurang wajar.  Apatah lagi jika keuntungan yang diberikan kepada sekolah digunakan untuk membeli alat-alatan atau membina prasarana yang kurang berfaedah untuk semua pelajar.
Kesimpulannya saya melihat dalam memupuk soal korban dan usaha kasih guru dan pelajar kepada pihak sekolah, cara yang dilakukan mestilah lebih bersifat ‘friendly'.
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
5 Jun 2007

AL WAHIDA MARKETING SDN BHD

AL WAHIDA MARKETING SDN BHD
Sila klik imej untuk ke link

Klik imej untuk ke link

KOPERASI WAHIDA HPA BERHAD

KOPERASI WAHIDA HPA BERHAD
Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

DVD PROFIL HPA

HPA Terkini