Pages

PRODUK HALAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Thursday, February 11, 2010

Pentingnya Sijil Halal

Oleh Melati Mohd Ariff

Sijil dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak tetapi ia juga mempunyai implikasi besar kepada industri atau pengusaha yang mengeluarkannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa aspek halal menjadi satu sistem kualiti dalam dunia perniagaan hari ini termasuk di peringkat global yang dapat menarik pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

"Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global. Negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana aspek kualiti dan keselamatan," demikian menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Pasaran produk halal yang besar juga, kata beliau, membuatkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi rakus memanipulasi perkataan halal untuk tujuan pemasaran dan keuntungan.

SIJIL DAN LOGO HALAL

Sepanjang 2009, Jakim menerima sebanyak 1,907 permohonan sijil halal dan jumlah yang diterima daripada Bumiputera ialah 622 dan bukan Bumiputera 1,285.

Kelulusan sijil halal yang dibuat pada 2009 pula ialah 301 Bumiputera dan 886 bukan Bumiputera.

"Yang kita tarik balik sijil halal atas alasan tertentu termasuk kebersihan hanya sekitar 10 peratus sahaja," kata Saimah sambil menegaskan Jakim menjaga kepentingan kedua-dua pihak, iaitu pengguna dan juga industri.

Jakim juga, kata beliau, mendaftarkan logo dan sijil halal Malaysia dengan Perbadanan Harta Intelek.

Di samping itu, Jakim juga melantik SIRIM Berhad untuk mendaftarkan logo halal Malaysia di luar Negara.

Menurut Saimah, sebelum itu sijil halal Malaysia didaftarkan di China dan Indonesia.

Jakim juga, katanya, mengiktiraf 47 badan Islam di 23 buah negara untuk mengeluarkan sijil halal bagi produk mentah, produk siap dan rumah penyembelihan bagi tujuan pasaran di Malaysia.

HALAL DAN JAKIM

Jakim terbabit dalam memberi pengesahan status halal kepada makanan dan barang gunaan Islam di negara ini sejak 1974.

Ketika itu, Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri memberikan pengesahan halal kepada beberapa produk makanan utama yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk surat pengesahan halal.

Bermula pada 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan halal beserta dengan logo halal atas nama BAHEIS (Bahagian Hal Ehwal Islam) dan dikuti pengeluaran logo halal atas nama Jakim pada tahun 1997.

Berasaskan kepada keperluan semasa, mulai 30 Sept 1998, tugas pemeriksaan premis bagi tujuan halal dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dilantik kerajaan iaitu Syarikat Ilham Daya Sdn Bhd dan Jakim mengendalikan aspek lain seperti pengeluaran sijil dan tugas pemantauan.

Bagaimanapun, pada 1 Sept 2002, kerajaan memutuskan untuk Jakim mengendalikan semua urusan pengesahan sijil halal termasuk tugas pengauditan.

Bagi memenuhi perkembangan pesat industri makanan halal di negara ini serta keperluan semasa umat Islam, Jakim mewujudkan sebuah bahagian baru pada 2002 yang diberi nama Bahagian Makanan dan Barangan Gunaan Islam.

Bahagian itu, yang menguruskan semua kegiatan berkaitan dengan pengurusan halal termasuk pengesahan sijil halal, standard halal, pemantauan, Pengiktirafan Badan Islam luar Negara dan sebagainya kemudian ditukar kepada Bahagian Hab Halal, dan logo halal Malaysia dikeluar dan didaftarkan.

Pada Januari 2008, pengeluaran logo halal diselaraskan bagi semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di mana hanya satu logo halal Malaysia sahaja digunakan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) tanpa kod negeri.

Pada 2 April 2008, pengeluaran sijil halal kemudian diambil alih Halal Development Corporation (HDC).

Tugas ini diserahkan semula kepada Jakim pada 8 Julai 2009 dan Jakim mula mengeluarkan sijil halal pada 1 Ogos 2009.

SATU SIJIL

Meskipun penggunaan satu logo halal dimulakan pada Januari 2008, sijil halal masih dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun, Jakim sedang mengusahakan supaya sijil halal yang dikeluarkan dapat diseragamkan.

Buat masa ini juga, setiap negeri menggunakan standard masing-masing dalam pengeluaran sijil halal.

"Dengan penyeragaman ini, nama JAKIM yang tertera di atas sijil akan digugurkan dan digantikan dengan KERAJAAN MALAYSIA.

"Jika semua negeri bersetuju menggunakan sijil halal yang seragam, ini bermakna pensijilan halal di negara ini akan menggunakan standard halal Malaysia MS15000:2009 untuk produk makanan dan MS2200:2008 untuk kosmetik," kata Saimah yang menyandang jawatan Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim sejak 17 Ogos 2009.

Menurut beliau, dengan penyeragaman sijil halal, produk halal untuk pasaran domestik dan eksport akan membawa imej Malaysia.

Saimah berkata pihaknya sedang membuat kunjungan hormat ke setiap negeri untuk mendapatkan persetujuan JAIN bagi penyeragaman mekanisme itu.

Setakat ini, katanya, beberapa negeri bersetuju untuk penyeragaman sijil halal itu. Pulau Pinang, tambah beliau ialah negeri yang mempunyai banyak syarikat multi-nasional dan negeri pertama yang bersetuju dengan langkah penyeragaman sijil halal.

"Pulau Pinang dan Negeri Sembilan disusuli Melaka akan menjadi negeri perintis untuk penyeragaman sijil halal ini dan kita sedang melatih pegawai-pegawai mereka untuk mengaplikasikan sistem on-line. Buat masa ini semua negeri memproses permohonan secara manual," tambah Saimah.

Jelasnya, jikapun sijil halal diseragamkan, proses permohonan termasuk bayaran pemprosesan sehingga kepada pengeluaran sijil masih diuruskan masing-masing. JAIN dan Jakim lebih bertindak sebagai badan penyelaras.

PINDAAN AKTA

Penyeragaman sijil halal bagaimanapun akan hanya dapat dilaksanakan selepas pindaan dibuat ke atas Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 dan Saimah berkata pihaknya mensasarkan pindaan Akta berkenaan untuk dilaksanakan Jun ini.

Dengan pindaan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melantik pihak berkuasa yang kompeten untuk mengeluarkan sijil halal dan dalam hal ini, pihak berkenaan ialah Jakim DAN JAIN.

"Ini bermakna hanya Jakim dan JAIN boleh mengeluarkan sijil halal. Sekarang ini sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sijil halal. Langkah ini juga untuk membendung penipuan penggunaan sijil halal palsu yang berlaku sekarang.

"Penyeragaman logo dan sijil juga akan memudahkan pengguna untuk membuat keputusan," jelas Saimah.

BENDUNG MANIPULASI

Saimah memberitahu bahawa negeri-negeri memberi maklum balas positif kearah penyeragaman ini atas semangat kerjasama yang terjalin selama ini.

Sekiranya ada negeri yang tidak bersetuju dengan penyeragaman ini, apa yang perlu dilakukan ialah dengan memasukkan klausa di bawah pindaan APD bahawa 'competent authority' atau pihak berkuasa yang kompeten iaitu Jakim dan JAIN kecuali negeri X (nama negeri yang tidak bersetuju).

"Jakim telah berbincang dengan pihak Peguam Negara mengenai perkara ini dan kami yakin klausa seperti ini tidak akan berlaku," katanya.

Saimah turut memberitahu beberapa risiko untuk negeri yang memilih untuk tidak menyertai penyeragaman sijil halal.

Menurut beliau, negeri yang tidak termasuk dalam APD sebagai 'competent authority' dalam pengeluaran sijil halal yang seragam memang boleh mengeluarkan sijil halal di negeri masing-masing tetapi dalam masa yang sama, pihak lain termasuk syarikat atau individu di negeri berkenaan boleh mengeluarkan sijil halal.

"Ini kerana JAIN di negeri tersebut tidak dinamakan sebagai competent authority apabila Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda.

"Sekiranya sesebuah MAIN mengeluarkan arahan hanya JAIN boleh mengeluarkan sijil halal, arahan sedemikian hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Kalau ada syarikat bukan Islam di negeri itu mengeluarkan sijil halal, tindakan tidak boleh diambil dan kita bimbang ini akan membuka ruang untuk manipulasi. Inilah sebabnya mengapa Jakim bersungguh-sungguh mengusahakan penyeragaman dan usaha ini sebenarnya memperkukuh bidang kuasa negeri dalam pengurusan halal," jelas Saimah.

1MALAYSIA 1HALAL

Sebagai usaha untuk memberi kesedaran khususnya kepada masyarakat Islam negara ini tentang kepentingan halal, Jakim akan mengadakan Kempen 1Malaysia 1Halal pada 25 hingga 28 Feb bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Kempen yang sama, katanya, akan dibuat berikutnya di peringkat negeri.

Mengenai rasional mengadakan kempen 1Malaysia 1Halal, beliau berkata Jakim mahu menyedarkan masyarakat Islam tentang konsep halalan thoyiban dan supaya mereka membeli produk yang ada logo halal Malaysia.

Permohonan untuk mendapatkan logo halal, katanya melalui pelbagai proses termasuk audit dari barang mentah hingga ke produk yang siap. Kita juga mengaudit di lapangan termasuk pekerja, persekitaran, ramuan, peralatan hingga kepada pengangkutan.

Proses mengaudit, katanya yang membabitkan pegawai syariah Jakim turut disertai pegawai teknologi makanan daripada Kementerian Kesihatan sebelum permohonan dan laporan audit diteliti Panel Pengesahan Halal.

Ujian analisis halal pula akan dilakukan di makmal Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

"Logo halal Malaysia inilah jaminan sebenar halal dan kita akan berusaha meningkatkan kesedaran pengguna Islam yang memandang ringan tentang kepentingan halal ini.

"Kita mahu pengguna yang mengeluarkan duit mendapat yang setimpal, produk yang halal terutama sekali makanan. Makanan yang dimakan akan menjadi darah daging dan jangan sampai tumbuh daging dari makanan atau sumber yang haram," tegas Saimah.

Antara program yang diatur di sepanjang kempen berlangsung ialah jualan produk halal, seminar halal, klinik halal bagi pemohon, forum Perdana Hal Ehwal Islam, nasyid dan pelbagai program menarik.

Pelancaran kempen dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 26 Feb pada pukul 12.30 tengah hari dan orang ramai dijemput hadir.

-- BERNAMA

Pengusaha Makanan Halal Disaran Amal Sistem "Halalan Toyyiban"

Pengusaha makanan halal tempatan perlu meningkatkan nilai tambah dan kualiti produk masing-masing dengan mengamalkan sistem "halalan toyyiban".

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata dengan sistem halalan toyyiban, setiap produk halal yang dihasilkan akan dijamin kesuciannya di sepanjang rantaian bekalan, walaupun telah melalui beberapa proses logistik khususnya pengangkutan, pergudangan, pembungkusan dan peruncitan.

"Sistem ini akan menghindar dan meminimumkan kemungkinan kontaminasi produk-produk ini dari perkara-perkara yang haram dan ini selaras dengan usaha kerajaan dalam menjamin integriti produk-produk halal," katanya pada majlis perasmian Forum Konsultatif Kebangsaan Standard Halalan Toyyiban di sini Khamis.

Nor Mohamed berkata industri makanan halal menyediakan peluang dan potensi yang amat besar kepada pengusaha makanan tempatan untuk mengembangkan pasaran masing-masing.

Beliau berkata dianggarkan nilai pasaran industri makanan halal dunia akan mencecah RM2 trilion setahun manakala di Malaysia, ia kira-kira RM45 bilion setahun.

Forum Konsultatif Kebangsaan Standard Halalan Toyyiban dianjurkan oleh Yayasan Ekonomi Sejagat (YES) dengan kerjasama Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Jabatan Standards Malaysia.

Ia bertujuan untuk memperkenalkan Standard Halalan Toyyiban kepada peserta-peserta dalam industri halal.

-- BERNAMA
Tiada kompromi kuatkuasa sijil halal


"Dikerat 18 pun kita tidak kompromoi dalam soal halal. Ini bermakna sekali-kali tidak ada kompromi dalam perkara yang membabitkan integriti dan perlaksanaan hukum syarak.

"Itu adalah kata-kata keramat Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Dan tugas kami memang berisiko tinggi. Ini termasuk menerima ugutan tetapi ini sudah menjadi asam garam tugas kami di cawangan pemantauan dan penguatkuasaan," demikian tegas Mohd Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal JAKIM.

Beliau menambah, pihaknya menjalankan tugas berdasarkan peraturan dan hukum syarie yang telah distandardkan.

Sehubungan dengan itu, katanya, mana-mana pemegang sijil halal atau orang yang melakukan kesalahan yang ada kaitan dengan isu halal akan dikenakan tindakan berdasarkan prosedur berkenaan.

Mohd Amri terbabit dalam operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal sejak menyertai JAKIM pada 2003.

Operasi berisiko

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal dibuat secara berkala dan ia melibatkan produk yang ditakrif sebagai berisiko tinggi dan rendah.

"Berisiko Tinggi" melibatkan produk yang berasaskan daging, lemak atau minyak, alkohol serta syarikat-syarikat yang antaranya tidak mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP).

Operasi untuk pihak berkenaan dibuat lebih dari sekali setahun sementara kategori berisiko rendah pula melibatkan produk yang bukan berasaskan daging, mengamalkan GMP, GHP, adanya Eksekutif Halal dan jawatankuasa halal dalaman serta syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan diyakini amalan pengilangannya.

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan untuk kategori ini mungkin dibuat sekali dalam setahun.

Operasi juga dibuat berasaskan aduan orang ramai dan operasi berkenaan dijalankan di seluruh negara.

Mohd Amri berkata sepanjang 2009, pihaknya menjalankan sebanyak 146 pemantauan iaitu 120 pemantauan berkala dan 26 pemantauan berdasarkan aduan orang ramai.

Menurut Mohd Amri, bidang kuasa cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal juga meliputi Sabah dan Sarawak bagi pihak yang mendapat sijil halal.

Agensi lain terbabit

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan JAKIM turut melibatkan pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan, kementerian serta agensi. Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kastam, JAIN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bergantung kepada keperluan, operasi berkenaan turut melibatkan anggota polis sebagai langkah keselamatan.

"Banyak operasi yang kita lakukan melibatkan rumah sembelih dan hotel yang mungkin berlaku kebarangkalian ketidakakuran.

"Katakan sebuah hotel yang mengambil bekalan ayam daripada satu-satu pembekal dan apabila harga ayam naik, hotel itu mungkin akan mengambil ayam daripada pembekal lain yang harganya lebih murah. Ini akan membuatkan pemantauan lebih kerap dibuat," jelas Mohd Amri.

Untuk rekod, menurut statistik JAKIM, sehingga Mei 2009, hanya 27 atau hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh Negara telah mendapat sijil halal JAKIM bagi dapur utama mereka.

Berhubung aduan orang ramai, Mohd Amri memberitahu aduan yang dibuat adalah mengenai pemegang Sijil Halal dan yang melibatkan soal perbahasaan halal.

"Walau apa pun kita akan buat pemeriksaan bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain. Misalannya jika ada yang berhubungkait dengan logo halal tetapi tidak ada Sijil Halal atau Sijil Halal telah tamat tempoh, ini melibatkan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972, di bawah kuasa KPDNKK.

Logo palsu

"Pihak JAKIM tidak ada kuasa undang-undang selain dari menarik balik Sijil Halal yang dikeluarkan atau menggantung sijil tersebut. Kita hanya sebagai pengesah sijil termasuk juga yang menggunakan logo halal palsu," tambahnya.

Untuk aduan yang ada kaitan dengan Akta Makanan 1983, contoh berhubung soal kebersihan premis, operasi akan dibuat bersama dengan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan dan yang berhubung dengan Akta Haiwan pula akan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Mana-mana aduan yang ada kena mengenai dengan PBT, tertakluk di mana lokasi premis yang diperiksa, kita akan ajak pegawai penguatkuasa PBT berkenaan.

"Ini menunjukkan banyak agensi penguatkuasa terlibat dalam Sijil Halal. Ini juga membuatkan Sijil Halal kita diiktiraf di seluruh dunia sebab sistem yang kita laksanakan di mana kita keluarkan sijil dan kita buat pemantauan balik untuk sijil yang diberi," jelasnya.

Menurut Mohd Amri, kes-kes yang melibatkan penggunaan sijil dan logo halal palsu atau menggunakan kalimah perbahasaan yang membawa maksud halal sememangnya banyak.

Beliau memberitahu contoh aduan yang meminta JAKIM memeriksa sebuah kedai makan mamak yang menggunakan ayat Al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim atau menggunakan perkataan halal sendiri.
"Ini sebenarnya tidak termasuk dalam bidang kuasa JAKIM kerana kuasa JAKIM hanya membabitkan logo dan Sijil Halal yang kita keluarkan.

"Dalam kes kedai mamak itu, yang boleh mengambil tindakan ialah KPDNKK sekiranya terbukti makanan yang dihidangkan tidak halal. Beban pembuktian terletak kepada JAKIM. Kita kena buat kajian halal atau haram sebelum KPDNKK boleh mengambil kes,"katanya.

Ayat al-Quran

Beliau memberi satu lagi contoh mengenai sebuah premis makanan yang menggunakan ayat Al-Quran dan apabila diperiksa, kedai tersebut yang terletak di Lembah Klang mempunyai pekerja yang semuanya beragama Hindu tetapi lesen perniagaannya atas nama seorang Melayu.

"Di bawah APD 1972 tindakan akan diambil ke atas pemilik dan dalam hal ini pemiliknya Melayu, dan mungkin lesen perniagaan telah dialibabakan. Pindaan yang diusahakan JAKIM untuk APD 1972 antaranya adalah untuk menangani kelemahan seperti ini.

"Kalau pemilik lesen orang India, pekerja bukan Islam dan meletakkan ayat Quran di dalam premis makanan, KPDNKK boleh mengambil tindakan. Di dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri juga boleh mengambil tindakan di bawah penggunaan teks ayat Quran,"katanya.

Mohd Amri juga memberi contoh sekiranya Sijil Halal diberi untuk 10 produk dan apabila pihaknya membuat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dan mendapati ada 11 produk dan produk ke-11 menggunakan logo halal, KPDNKK boleh merampas produk yang ke-11.

JAKIM, katanya akan menarik balik atau menggantung Sijil Halal untuk setiap satu daripada 10 produk tadi kerana pengusaha tidak berlaku jujur dalam membuat perisytiharan.

Pengusaha berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan dan keputusan akan dibuat oleh panel yang berkenaan.

Tindakan menyusahkan

"Sesetengah pihak dalam industri menganggap tindakan kami ini menyusahkan mereka tetapi sebenarnya daripada pengalaman kami, ada juga yang bersikap positif dan mendapatkan nasihat untuk memperbetulkan kesilapan mereka.

"Bagi pihak pengguna, sudah tentunya mereka akan melihat secara positif tindakan penguatkuasaan yang dibuat oleh JAKIM, persijilan kita mempunyai kredibiliti melalui penguatkuasaan yang kita laksanakan,"jelasnya.

Bagi operasi ke atas rumah penyembelihan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, ia dibuat berdasarkan aduan dan sebagai operasi berkala. Ia lazim dilakukan sekitar pukul 3 pagi memandangkan bekalan ayam akan mula dihantar ke pasar-pasar selepas subuh, kata Mohd Amri.

Antara operasi yang pernah dilakukan ialah yang melibatkan aduan urat leher ayam yang disembelih tidak putus atau ayam direndam dalam air panas.

Beliau memberitahu sekiranya aduan didapati benar, pihaknya akan meminta rumah penyembelihan menghentikan operasi dan mengisytiharkan jumlah ayam yang sudah disembelih dan sama ada melupuskan ayam-ayam tersebut atau mengisytiharkan ayam itu sebagai tidak halal dan hanya menjualnya kepada bukan Islam.

Roh halal dan jihad halal

Cepat atau lambat satu-satu operasi bergantung kepada kes dan menurut Mohd Amri ada kes yang operasinya bermula jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 3 petang keesokannya.

"Kami di JAKIM telah diterapkan dengan Roh Halal dan Jihad Halal yang cukup kuat. Jadi tak ada masalah untuk buat operasi pada awal pagi atau yang mengambil masa berjam-jam lamanya,"tegasnya.

Mohd Amri turut menegur sikap sesetengah orang Islam di negara ini yang membuat andaian semua produk yang dijual di Malaysia adalah halal tanpa meneliti ramuan yang digunakan untuk membuat produk tersebut.

"Bila kita buat operasi pemantauan dan penguatkuasaan, barulah mereka sedar.

Pihak kami pernah menyerbu sebuah restoran atas aduan orang ramai yang meragui kehalalannya. Ramai pengunjung Islam sedang makan di premis yang tidak halal itu dan apabila ditanya, komen mereka makanan sedap.

Lagi pun kata mereka juruwangnya memakai tudung.

"Yang haram bukan dari segi daging khinzir tetapi alkohol. Kebanyakan makanan Barat, Cina dan Jepun menggunakan alkohol untuk menyedapkan makanan. Pengalaman saya makanan Barat banyak menggunakan cuka wain atau alkohol. Sikit atau banyak, mabuk atau tak memabukkan, yang haram tetap haram," tegas Mohd Amri.

Beliau menasihatkan masyarakat Islam untuk menjaga kehalalan makanan kerana sumber makanan yang haram akan turut mencacat-celakan keturunan.

Menurut beliau, ada pihak yang menyatakan generasi orang Islam hari ini sebagai generasi strawberi, lemah dan rosak akhlak.

"Buah strawberi itu kan lembik, tidak boleh diusik, Ini semua berpunca daripada makanan. Kita mesti beratkan makanan yang halalan thoyiban. Jika ini tidak ditangani, generasi Islam akan terus lemah.

"Otak yang cergas datang dari sumber makanan. Saya ibaratkan makanan sebagai minyak. Kalau minyak tidak berkualiti, nak nyalakan lampu pun tak boleh, nak gerakkan kereta pun tak boleh. Kita perlu tukar generasi strawberi ini dengan faktor makanan.

"Orang Islam mesti menjadi pengguna yang bermaklumat, mesti ada sifat ingin tahu, tahu membezakan sama ada satu-satu makanan itu halal atau tidak. Jadikan ini pembelajaran sepanjang hayat.

“Tengok orang Yahudi, bagaimana mereka boleh melahirkan generasi yang hebat dan menguasai ekonomi dunia. Puncanya hanya mengambil makanan yang berkhasiat (kosher), orang Yahudi menjaga betul apa yang mereka makan," kata Mohd Amri.

- Bernama

Tuesday, February 9, 2010

HPA DI SARAWAK TERUS GEMILANG
KUCHING:Ahad,7 Febuari 2010.Majlis perasmian Pejabat Pentadbiran HPA Zon Borneo dan HPA Halal Mart pertama Sarawak telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Mohd Faisol bin Abdul Rahman Pengurus Besar Al Wahida Marketing Sdn Bhd di No. 29 of Parent Lot 618, Blok Kuching North Land District di sini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Abdullah Latif bin Kordi diikuti bacaan al-Quran oleh Qari jemputan. Ucapan wakil PJS iaitu PJS Saifurain bin Hj Abdullah, ucapan Pengurus Zon Borneo Encik Nor Izham bin Mohd Noor dan acara kemuncak ucapan oleh Encik Mohd Faisol bin Abdul Rahman Pengurus Besar Al Wahida Marketing Sdn Bhd dan perasmian dengan membaca surah al-Fatihah. Tayangan video profil syarikat dipapar kepada tetamu dengan menggunakan layar besar. Sesekali hadirin dihiburkan dengan pantun oleh Encik Ismadi bin Maharof selaku pengacara majlis.
Upacara gimik iaitu menyumpit belon di pintu dan tandatangan plak dilakukan selepas ucapan. Pengurus Besar dengan diiringi Pengurus Zon Borneo, Pengurus Operasi Negeri Sarawak, Pengurus Operasi Negeri Sabah, PJS dan tetamu kehormat melawat HPA Halal Mart, dewan dan pejabat pentadbiran. Sesi bersama wartawan dilakukan selepas itu. Pengurus Besar telah ditemubual oleh wartawan dari Utusan Sarawak.
Majlis tamat setelah para tetamu menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan oleh syarikat.



HPA Halal Mart (tingkat bawah),Dewan (tingkat 1) dan
Pejabat Pentadbiran Zon Borneo (tingkat 2)



Pengurus Besar melakukan sumpitan (dalam gambar: ditengah,
di kanan beliau En Nor Izham(Pengurus Zon Borneo) dan
PJS Saifurain bin Hj Abdullah)


*Gambar milik GM








Saturday, February 6, 2010

Selama ini kita terus menggunakan penapis air yang di keluarkan tanpa boleh bertanya bahan yang digunakan itu daripada apa. Mudah-mudahan halal walaupun kebanyakannya penapis air masih lagi menggunakan serbuk tulang. Jurujual juga tidak jujur dan kemungkinan tidak turut menyelidiki sumber asalnya. Kita terima sahaja sambil berdoa semoga Allah mendatangkan usaha yang baik untuk kegunaan ummah hari ini.

Alhamdulillah..kini kita mempunyai pilihan bagi menggantikan satu persatu penapis air di rumah terutama untuk kegunaan minuman dengan "dew filter". Penapis Dew Water dibuat daripada batu gunung berapi,tempurung kelapa,cengkerang dan tanah liat. Syukur , Dew Water diakui halal oleh "JAKIM" sebagai produk awal yang diberi status itu.

Bukan sahaja mendapat status halal,malah ia mempunyai keupayaan alat ganti (katrij)yang boleh tahan lama. Mungkin ada yang mampu menawarkan harga yang lebih murah lagi selepas ini tetapi menggunakan kualiti katrij yang tidak berkualiti. Harga yang ditawarkan oleh HPA mengambil kira keperluan pengguna bukan sahaja untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi semata-mata. "Kita perlu membiasakan pasaran agar peka dengan isu harga kerana pengguna itu adalah kita sendiri. Kalau bukan kitapun , saudara-saudara seugama dengan kita. Sanggupkah kita menipu harga dalam keadaan ekonomi yang kian meruncing.

SEMUA BOLEH MEMBELI DENGAN HPA..

Sumber..Blog PU

AL WAHIDA MARKETING SDN BHD

AL WAHIDA MARKETING SDN BHD
Sila klik imej untuk ke link

Klik imej untuk ke link

KOPERASI WAHIDA HPA BERHAD

KOPERASI WAHIDA HPA BERHAD
Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

Sila klik imej untuk ke link

DVD PROFIL HPA

HPA Terkini