Biskut 'Wang Wang' tak selamat dimakan
Kementerian Kesihatan kini meletakkan biskut beras 'Wang Wang' keluaran   negara China pada tahap 5 keselamatan makanan berikutan laporan   kehadiran bakteria koliform dan E coli dalam biskut itu di Wilayah   Shandong, China semalam.
Menterinya Datuk Seri Liow  Tiong Lai berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Bahagian Kualiti dan  Keselamatan Makanan agar mengambil sampel daripada biskut yang berada di  pasaran sekarang untuk diuji.
Sebanyak 334,460 kotak  produk itu dibawa masuk ke Malaysia tahun ini tetapi tidak dapat  dipastikan berapa banyak yang masih berada dalam pasaran, katanya pada  sidang media selepas melawat Biro Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan, di  Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan standard maklumat  keselamatan makanan Malaysia atau FoSIM, tahap 5 adalah tahap  berjaga-jaga, manakala tahap 6 akan mengakibatkan produk terbabit  dikeluarkan daripada pasaran.
Liow berkata, pihaknya  juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa China bagi mendapatkan  maklumat lanjut mengenai kes itu selain mengesan sumber pencemaran.
Ditanya sama ada produk itu selamat untuk dimakan, Liow berkata, keputusan akan dibuat selepas menerima hasil analisis. 
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment